Tuesday 30 June 2015

KARANGAN 1
Keperihalan
Lawatan ke Pameran Buku

             Pada cuti sekolah yang lalu, bapa membawa saya berkunjung ke pameran buku.Pameran tersebut diadakan di Perpustakaan Awam Terengganu.Kami pergi  ke pameran itu untuk membeli buku-buku yang berharga murah yang ditawarkan pada masa pameran tersebut berlangsung.

             Sesampainya di tempat itu, saya nampak orang berduyun-duyun menuju ke setiap gerai yang disediakan. Suasana di situ riuh-rendah.Di situ terdapat penerbit yang mempamerkan dan mempromosikan buku daripada syarikat masing-masing.Saya dan bapa berjalan dari satu gerai ke satu gerai.Kami meluangkan masa untuk melihat dan membelek-belek buku yang dipamerkan di setiap gerai.

             Kemudian, saya dan bapa menuju ke gerai yang menjual buku cerita dan buku latihan. Saya memilih beberapa buah buku cerita dan buku latihan ulang kaji beberapa mata pelajaran.Pada hari itu, buku-buku dijual dengan harga runtuh.Jurujual memberikan diskaun sebanyak 10 peratus bagi sebuah buku.Bapa memang menggalakkan saya   membeli buku-buku yang saya minati.Dia tahu bahawa saya ulat buku.Bapa juga membeli beberapa buah buku resepi untuk emak dan beberapa buah novel terkini untuk kakak.

             Semasa pameran berlangsung, ada juga antara penerbit yang mengadakan pertandingan kuiz berkaitan dengan buku-buku yang dikeluarkan oleh syarikat mereka.Saya cuba menjawab satu soalan yang berkenaan dengan majalah keluaran syarikat berkenaan .Saya dapat menjawab soalan tersebut dengan tepat.Saya diberi hadiah langganan majalah keluaran syarikat tersebut secara percuma selama setahun.Saya berasa sungguh gembira.

             Pameran buku yang saya kunjungi pada kali ini amat berbeza dengan pameran buku yang pernah diaadakan di sekolah saya.Bapa juga mengatakan bahawa pameran buku pada kali ini amat menarik kerana terdapat beberapa acara lain seperti pertandingan bercerita dan pertandingan mewarna. Saya dan bapa benar-benar puas hati mengunjungi pameran buku kali ini.

             Setelah membeli buku-buku yang kami kehendaki, bapa mengajak saya pulang.Saya berasa berat hati untuk pulang kerana belum puas melihat buku-buku yang dipamerkan di situ.Saya harap bapa akan membawa saya ke pameran buku itu sekali lagi.


Sumber di petik daripada Buku Panduan Guru Bahasa Melayu tahun 6 KBSR

KARANGAN 2

Laporan Lawatan Sambil Belajar

      Pada hari sabtu 10 Mei yang lalu, Persatuan Bahasa Malaysia Kebangsaan Seberang Marang telah mengadakan lawatan sambil belajar ke pameran buku di Perpustakaan Awam Terengganu.Lawatan ini disertai oleh 33 ahli persatuan dan lima orang guru penasihat.

       Tujuan utama lawatan ini diadakan adalah untuk mengenali buku-buku bermutu yang sesuai dibeli oleh murid.Murid-murid juga dapat menimba pengetahuan dan pengalaman tentang pameran buku tersebut.

        Kami tiba di Perpustakaan Awam Terengganu pada pukul 9.00 pagi.Tempat pertama yang menjadi destinasi kami ialah sudut pameran buku terbaharu. Semasa berada di bahagian ini, kami berpeluang melihat
berbagai-bagai jenis buku yang dikeluarkan oleh pihak Dewan bahasa dan Pustaka dan syarikat penerbitan buku tersohor yang lain.

        Selepas itu, kami menuju ke setiap gerai buku yang disediakan.Di situ terdapat penerbit yang mempamerkan dan mempromosikan buku daripada syarikat masing-masing. Kami meluangkan masa untuk melihat dan membelek-belek buku yang dipamerkan di setiap gerai.

         Di samping itu, kami juga berpeluang bertemu dengan beberapa orang penulis novel yang terkenal   seperti Ain Maisarah, Sharifah Abu salim dan beberapa orang penulis lagi.Pengalaman  ini cukup bermakna buat kami.Tambahan lagi, kami juga sempat mendapatkan tandatangan mereka yang sangat dinanti-nantikan.

          Sebelum pulang, kami tidak melepaskan peluang untuk membeli beberapa naskhah bahan rujukan UPSR.Kami diberi potongan harga istimewa oleh pihak penerbit buku tersebut.Ada juga rakan kami yang menyertai pertandingan kuiz sempena pameran buku tersebut.Oleh itu, lawatan ini memberi pengetahuan dan menambahkan pengalaman kepada semua ahli persatuan.

           Harapan kami agar lebih ramai murid sekolah ini akan menyertai lawatan sambil belajar pada masa akan datang.

Laporan disediakan oleh,
.....................................                                                                                   12 MEI 2015
(IZYAN FARHANA AHMAD RAHIM)
Setiausaha,
Persatuan Bahasa Malaysia,
Sekolah Kebangsaan Seberang Marang.      



Sumber di petik daripada Majalah Didik 28 April 2014 dan diubahsuai oleh penulis blog



KARANGAN 3
Keperihalan

Soalan : Sekolah kamu baru sahaja mengadakan temasya sukan sekolah.Ceritakan suasana temasya sukan tersebut.


       Pada pukul 8.00 pagi semua murid beratur di khemah rumah masing-masing.Guru rumah sukan telah memberi taklimat kepada semua ahli rumah sukan masing-masing.Semua ahli rumah sukan sudah bersiap sedia untuk acara perarakan dan perasmian temasya sukan.

       Acara sukan dimulakan dengan acara perarakan masuk rumah sukan ke dalam padang.Para penonton yang berada di khemah penonton bersorak dan bertepuk tangan memberi sokongan kepada ahli-ahli perbarisan.Suasana ketika itu sungguh meriah dengan sorakan penonton dan bunyi muzik yang mengiringi perbarisan tersebut.

       Apabila semua ahli rumah sukan yang menyertai perarakan berada di tengah padang, acara perasmian dimulakan  dengan menaikkan bendera kejohanan dan nyayian lagu Negaraku telah diadakan.Ketua Murid telah mengetuai bacaan ikrar temasya sukan.Selesai ucapan perasmian oleh Yang Dipertua PIBG, semua peserta bersiap-sedia untuk memulakan pertandingan.

        Acara sukan dimulakan dengan acara 100 meter, 200 meter dan acara 400 .Suasana bertambah meriah apabila para penyokong bersorak dan memberi sokongan kepada peserta rumah sukan yang bertanding.Acara diselang-seli dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang.

         Acara sukan berhenti rehat pada pukul 11.00 pagi dan para penonton menyaksikan persembahan senamrobik  daripada murid-murid Tahun Satu. Suasana rehat yang tenang menjadi meriah apabila pertandingan tarik tali dijalankan antara guru dengan bapa dan penjaga murid-murid.Begitu juga dengan pertandingan menganyam ketupat antara guru dengan ibu dan penjaga murid-murid.

          Pada pukul 11.30 pagi, semua murid berkumpul di hadapan khemah para jemputan untuk acara penutup.Rumah Kuning telah diumumkan sebagai pemenang keseluruhan .pada pukul 12.00 tengah hari semua murid dan ibu bapa bersurai.


Sumber di petik daripada Majalah Didik 7 April 2014


KARANGAN 4
Catatan
Soalan :  Sekolah kamu baru sahaja mengadakan temasya sukan. Tulis catatan tentang temasya sukan tersebut.

Hari Khamis - 12 Mac 2015

8.00 pagi   -   Semua murid beratur di khemah rumah sukan masing-masing.
                      Guru rumah sukan memberi taklimat kepada ahli
                      rumah sukan masing-masing.

8.30 pagi   -   Acara dimulakan dengan perarakan masuk ahli rumah sukan
                      yang mengambii bahagian.Murid-murid yang terlibat dalam perarakan
                      tersebut begitu bersemangat dan murid-murid yang berada
                      di bawah khemah bersorak memberi sokongan.

9.00 pagi  -    Temasya sukan dimulakan dengan bacaan doa dan ucapan
                      alu-aluan daripada Guru Besar.Seterusnya Yang DiPertua PIBG
                      telah merasmikan temasya sukan sekolah tersebut.

9.30 pagi  -    Acara sukan bermula dengan meriah.Pelbagai acara padang dan trek
                      telah dijalankan.Acara sukan diselang-selikan dengan penyampaian
                      hadiah kepada para pemenang.Ramai ibubapa yang datang
                      menyaksikan  temasya sukan sekolah. 

10.30 pagi -   Acara sukan berhenti rehat.Sementara menunggu waktu rehat tamat,
                      murid-murid Tahun 1 telah  mengadakan persembahan senamrobik.

11.00 pagi -   Acara sukan diteruskan dengan acara ibu bapa iaitu tarik tali bagi
                      kaum lelaki dan menganyam ketupat bagi kaum wanita.

11.30 pagi -   Semua murid berkumpul di tengah padang untuk majlis penutup
                     Yang DiPertua PIBG menyampaikan hadiah kepada olahragawan
                      dan olahragawati.Akhirnya , majlis bersurai pada
                      pukul 12.00 tengah hari.



      
Sumber di petik daripada Majalah Didik 7 April 2014 


KARANGAN 5










Peribahasa dan maksudnya:

  • Bekas tangan         :  Sesuatu yang diusahakan.
  • Mata pencarian     :   Pekerjaan yang dilakukan untuk mendapatkan sara hidup.
  • Ringan tulang         :  Rajin
  • Berpeluk tubuh      :  Malas bekerja
  • Masa itu emas        : Masa itu amat berharga


       Contoh ayat :
  • Bunga daun getah yang cantik itu ialah bekas tangan nenek Azli.
  • Penduduk kampung itu menjadikan perusahaan memproses kerepek ubi kayu sebagai mata pencarian mereka.
  • Datuk dan nenek Azli hidup senang kerana mereka ringan tulang.
  • Kita tidak sepatutnya berpeluk tubuh jika mahu berjaya dalam kehidupan.
  • setiap orang tidak harus maembuang masa dengan sesia kerana masa itu emas.